Alhamdulillah.. masih ada kesempatan untuk aku menyelesaikan tugasan ini. Hampir 2 minggu duduk dalam ward terasa macam dalam liang lahad. Namun demikian aku mesti kuatkan semangat. Hidup hari ini bercita-cita untuk hari esok. Aku sentiasa berharap akan sentiasa ada ESOK untuk ku.
Apapun dugaan yang datang, akan ku sambut dengan redha. Sesungguhnya mati itu boleh berlaku di mana saja. Aku mahu hidup lebih lama. Demi untuk menjana 'sisa nafas' ini aku mesti korbankan tiap 21 hari dalam sebulan.. Tak perlulah tanya untuk apa. Hanya orang yang mengalami pengalaman sebegini akan faham keadaan ini.
Dua minggu dalam ward, sempat juga aku catatkan buku baruku yang entah bila akan siap walaupun dengan jemari yang gementar. Selagi hayat dikandung badan, aku mesti kuatkan semangat. Peduli apa orang kata. Hidup ku hanya untuk kedua orang anakku.
Apa yang ingin aku kongsikan di sini bukan untuk meraih simpati. Cukuplah ambil ia sebagai ikhtibar. Jangan terpedaya dengan kilauan dari kejauhan. Belum pasti ia intan atau permata. Mungkin hanya kilauan kaca yang berkecai di lantai batu. Manusia pandai bersendiwara. Dalam menjalani hidup ini percayalah pada diri sendiri. Jangan hirau orang nak kata selagi ia tidak memudaratkan. Kepada insan yang senasib, kuatkan semangat. Kemoterapi itu umpama penjana sisa nafas kita. Kita tiada pilihan lain, selain menjalaninya dengan penuh paksaan. Kita paksa diri kita untuk menjalani terapi ini kerana kita mahu terus hidup. Untuk apa kita hidup jika ia amat menyakitkan? Untuk apa kita terus hidup jika ia akan menyusahkan orang lain? Ini yang sering bermain dalam benak ku. Dan anda semua... jawablah UNTUK APA?
Akhir sekali, setinggi penghargaan dan terima kasihku buat pensyarah GE1153; Cik Mazalah Ahmad atas tunjuk ajar beliau yang tidak berbelah bagi. Terima kasih juga kerana berkongsi cerita.. kita sama tapi berbeza dan semangat kita juga perlu jitu untuk melakar hari esok; ingatlah "If you know yourself and know your enemy, you will never fear the result".
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment